Khamis, 31 Januari 2013

Solekan ringkas untuk wanita bekerjaya



Wanita bekerjaya zaman sekarang semakin sibuk, malah kadang-kadang tidak sempat untuk mengenakan sebarang solekan di wajah akibat mengejar masa. Disebabkan itu, ada wanita yang melangkah ke pejabat dengan kurang keyakinan diri . Tidak semestinya anda hendak ke pejabat perlu mengenakan solekan yang tebal semata-mata untuk kelihatan cantik malah ada yang sebaliknya. Jadi, biarlah solekan anda ringkas tetapi anda tampil anggun dan penuh berkeyakinan. Di sini, ada beberapa tips solekan mudah dan ringkas untuk diamalkan oleh setiap wanita bekerjaya:

Kulit Licin
Memakai solekan haruslah menampakkan wajah yang asli. Seseorang wanita itu haruslah memakai bedak asas berunsurkan cecair atau lebih dikenali sebagai liquid foundation. Bedak asas ini harus disapu nipis pada dahi, hidung dan dagu. Bagi yang memiliki kulit wajah berminyak, anda hendaklah menekap wajah anda dengan tisu pada waktu tengah hari atau ketika panas bagi mengelakkan wajah kelihatan berkilat. 

Sapuan Lembut Bulu Mata
Mungkin ada yang menganggap pemakaian maskara ke pejabat tidak penting tetapi sapuan lembut pada bulu mata anda sudah cukup memberikan impak yang berbeza kepada wajah anda, lebih-lebih lagi jika anda mengenakan maskara dari tona warna semulajadi yang selain dari warna hitam. 

Kilauan Asli di Bibir
Jika ke pejabat, anda tidak perlu mengenakan gincu bibir berwarna terang seperti merah cabai. Cukuplah sekadar mengenakan calitan warna asli seperti warna coklat pic, beige ataupun merah jambu. Jangan sesekali memakai pengilat bibir kerana ianya menampakkan anda kelihatan terlalu seksi apabila ke pejabat. 

Sentuhan Pemerah Pipi
Pemerah pipi juga haruslah dipadankan dengan warna asli seperti coklat agar tidak terlalu menonjol. Harus diingat bahawa anda hanya ke pejabat dan bukannya ke majlis makan malam. Pada asasnya solekan ke pejabat haruslah ringkas dan semulajadi. Jangan sampai anda kelihatan seperti badut semata-mata untuk kelihatan cantik. Biar ringkas dan mudah untuk anda ke pejabat tetapi tetap menawan, anggun dan berkeyakinan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan