Isnin, 24 Disember 2012

Rawatan mata rabun




TIDAK pernah terlintas di fikiran Zaza Omar masalah ketika memandu seperti sering terlanggar bonggol jalan raya menjadi penanda dia mengalami masalah rabun.
Akhirnya, Zaza membuat keputusan pemeriksaan mata dan disahkan rabun jauh.
Zaza disarankan memakai cermin mata.
Dia yang kemudian berjinak-jinak dengan dunia model mengambil keputusan memilih kanta lekap kerana cermin mata membataskan pergerakannya.
"Sudah hampir sepuluh tahun saya memakai kanta lekap. Saya memilih kaedah ini untuk dua perkara iaitu gaya dan rawatan mata rabun.
Saya berasa selesa walaupun kadang-kala sukar dari segi penjagaan. Masalahnya, kanta ini tidak boleh dipakai lebih daripada lapan jam. Kadang-kadang saya terbabas juga. Mata saya akan menjadi merah dan saya akan segera ke klinik atau farmasi untuk mendapatkan ubat titis khusus untuk mengurangkan kesan sakit ini.
Ditanya tentang kegunaan kanta lekap sebagai aksesori fesyen, Zaza mengakui kanta lekap berwarna menyerikan lagi solekan wajah.
Pun begitu, Zaza yang pernah tertipu tentang kualiti kanta lekap yang dibelinya di facebook lebih percaya pada kualiti kanta yang berada di kedai optikal atau pusat pakar mata.
Zaza sebenarnya antara pengguna kanta lekap dan cermin mata yang tidak memilih kaedah ubat-ubatan, laser atau pembedahan untuk mengatasi masalah rabun.
Baginya, faktor kos dan perasaan takut menjadi penghalang utama.
Pakar Runding Oftalmologi, Pusat Pakar mata Optimax, Dr. Nor Zainura Zainal memberitahu, ramai pesakit yang mempunyai masalah seperti Zaza yang takut dan ada pula yang tidak tahu langsung rawatan mata yang menggantikan pemakaian cermin mata.
Jelas beliau, orang ramai perlu tahu, terdapat banyak rawatan rabun sama ada jauh atau dekat sebagai pengganti cermin mata.
Selain kanta lekap, pesakit kini boleh memilih rawatan laser mata menggunakan kaedah pembedahan Lasik atau kaedah Implan Collamer Lans (ICL).
Kanta lekapMengulas trend kanta lekap yang kini menjadi pilihan gaya fesyen, Dr. Nor Zainura memberitahu, pada awal pengenalan kanta lekap diberikan secara preskripsi kepada mereka yang benar-benar layak menggunakannya sahaja.
"Pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan dengan menganalisis kesemua kemungkinan kesan penggunaan kanta lekap pada mata.
Kemudiannya sesi penerangan dibuat dengan bakal pengguna kanta lekap agar pengguna tidak terdedah kepada sebarang komplikasi buruk.
Cara ini semakin hilang kini dengan kesedaran pengguna tentang kaedah pemakaian dan penjagaan kanta lekap semakin berkurangan. Bahkan kanta kini menjadi pilihan untuk mereka yang ingin kelihatan cantik," ujarnya.
Bagi Dr. Nor Zainura, pemakaian kanta lekap tiada masalah sekiranya pesakit tahu prosedur terutamanya dari segi penjagaan kanta lekap itu sendiri.
Masalahnya, masih ramai yang menganggap bahawa kanta lekap berfungsi dengan cara yang sama dengan cermin mata.
Kerana itu, pengguna tidak berfikir untuk mendapatkan khidmat nasihat yang betul sebelum membuat keputusan untuk memakai kanta lekap .
Keadaan ini bertambah teruk kerana orang ramai mahu mendapatkan kanta lekap dengan harga yang murah tanpa memikirkan kualitinya.
Dr. Nor Zainura menasihatkan orang ramai yang ingin memakai kanta lekap sama ada untuk gaya atau rawatan, mereka perlu mendapatkan kanta lekap yang berkualiti yang hanya dijual di pusat pakar optometris, kedai optikal atau farmasi.
"Sekiranya anda ingin atau bakal menggunakan kanta lekap , lakukan pemeriksaan mata terlebih dahulu dan dapatkan nasihat daripada pakar mata yang berkelayakan sebelum anda menggunakannya," ujarnya.
Katanya lagi, orang ramai perlu tahu masih terdapat rawatan mata lain bagi menggantikan cermin mata dan kanta lekap yang lebih selamat dan berkesan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20121223/kn_02/Rawatan-mata-rabun#ixzz2Fz4qJ6WO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan