Selasa, 13 November 2012

Gelaran 'Tun' patut diberi kepada bekas pemimpin tertinggi tentera - PBTM


KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) hari ini mencadangkan supaya kerajaan mengurniakan darjah kebesaran membawa gelaran ''Tun'' kepada bekas pemimpin tentera yang banyak berjasa kepada negara termasuk ketika era mendapatkan kemerdekaan dan mengawal keamanan negara.
Presiden PBTM Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata sejak bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail meninggal dunia, sudah tidak ada bekas anggota tentera yang dianugerah gelaran tertinggi negara itu, seolah-olah tidak ada bekas pemimpin tentera yang layak.
"Sudah tiba masanya kerajaan mengiktiraf bekas-bekas tentera yang layak mendapat gelaran itu memandangkan ada yang sudah uzur dan ada juga yang telah meninggal dunia namun tidak mendapat perhatian sewajarnya.
"Umum tahu, tentera mengawal keamanan negara sejak zaman negara cuba mendapatkan kemerdekaan dan mempertahankan negara daripada anasir luar," katanya ketika dihubungi Bernama.
Tegas beliau, pasukan tentera juga menjadi tulang belakang kekuatan negara sebelum wujudnya pasukan keselamatan lain.
"Seharusnya pengiktirafan Tun ini diberikan kerana pasukan keselamatan lain pun sudah menerimanya. Ini bukan kerana faktor cemburu tetapi ini hak bekas tentera yang sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan kemerdekaan hingga kini," kata Muhammad.
Ibrahim meninggal dunia dua tahun lepas dan merupakan bekas tentera pertama dikurnia gelaran Tun.
Allahyarham juga adalah individu yang telah menaikkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pasukan keselamatan utama dalam membantu kerajaan membangun dan mengekalkan keharmonian negara.
Tun Ibrahim juga pernah menjadi Ketua Pentadbir Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang memerintah setelah negara diletakkan di bawah undang-undang darurat pada 1969.
Muhammad berkata penganugerahan dan pengiktirafan negara kepada bekas tentera dapat menaikkan moral serta harga diri bekas anggota tentera dan yang masih berkhidmat di seluruh negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan